KUALA LUMPUR – Penggunaan rangkaian 5G di Malaysia terus mencatat perkembangan pesat dengan jumlah langganan kini mencapai 18.19 juta, atau 53.35% daripada keseluruhan pengguna. Peningkatan ini menandakan pencapaian yang baik dalam tempoh yang singkat dan menjadi langkah besar dalam usaha memperkukuh infrastruktur telekomunikasi negara.
Perkembangan positif ini diumumkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Dwirangkaian 5G yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi di kementeriannya hari ini. Selain pertumbuhan jumlah pengguna, liputan 5G di kawasan berpenduduk turut mencapai 82.4%, mengukuhkan lagi infrastruktur digital negara.
“Pencapaian ini pasti membuka lebih banyak peluang untuk inovasi, meningkatkan produktiviti, serta membawa manfaat kepada rakyat Malaysia,” ujar Menteri Komunikasi dalam mesyuarat tersebut.
Dalam mesyuarat itu juga, beberapa perkara khusus berkaitan halatuju Digital Nasional Berhad (DNB) serta pembangunan rangkaian kedua yang diterajui oleh U Mobile telah dibincangkan. Keputusan rasmi mengenai pelaksanaan dwirangkaian ini akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dengan peningkatan liputan dan jumlah pengguna yang semakin meningkat, kerajaan optimis bahawa pembangunan teknologi 5G akan terus memperkasakan ekonomi digital dan mempercepat transformasi Malaysia ke arah negara yang lebih maju dari segi teknologi.
Komentar